Gagasan Rakyat Mula Atur Persiapan Hadapi PRN17

PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mula mengatur persiapan bagi  menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bermula dengan pelancaran Gagasan  Rakyat Bahagian Pitas, hari ini. 

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor berkata, semua 73 bahagian parti itu perlu bersiap sedia dari sekarang untuk  memastikan kemenangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Beliau berkata, semua bahagian dan cawangan, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan  Beliawanis Gagasan Rakyat perlu bergerak awal mengukuhkan jentera parti dan  menambah keahlian di semua bahagian. 

“Inilah yang kita akan lakukan bermula di Bahagian Pitas ini kerana tidak lama lagi  Pilihan Raya Umum (PRN), iaitu kira-kira dua tahun lagi”. 

“Kalau GRS dan 73 bahagian Gagasan Rakyat sudah sedia, kuatkan bahagian,  banyakkan ahli di cawangan, kuatkan jentera sayap kita, Wanita, Pemuda dan  Beliawanis, insyaAllah kita boleh fikirkan untuk pastikan kita mendapat mandat rakyat  sekali lagi pada PRN akan datang,” katanya ketika melancarkan Gagasan Rakyat  Bahagian Pitas di Dataran Pitas, di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah;  Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Pemuda GRS,  Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis, Cik Emmie M. Idang. 

Gagasan Rakyat Bahagian Pitas adalah yang pertama dilancarkan oleh Hajiji di  peringkat bahagian selepas pelancaran Gagasan Rakyat di peringkat negeri pada 2 Mac  lalu. 

Hajiji berkata, berdasarkan sambutan rakyat terhadap parti itu yang semakin  memberangsangkan, beliau yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang  cerah di negeri ini. 

“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela  nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan  politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran hebat.

“Tapi saya yakin dengan Gagasan Rakyat ini insyaAllah perjuangan parti tempatan ini  kita dapat angkat bersama GRS untuk Sabah ini. Inilah gabungan besar yang akan kita  pakai dalam PRN akan datang”. 

“Kita mahu menyatupadukan rakyat kerana kita telah mengalami pelbagai gelombang  cabaran politik Sabah. Bukan mudah untuk kita sampai ke kedudukan kita hari ini  sehingga kita berjaya menggunakan parti tempatan,” katanya. 

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa Gagasan Rakyat yang berkonsepkan  parti berbilang kaum diterima rakyat Sabah. 

Katanya, perjuangan parti itu akan memberi isyarat jelas kepada parti pembangkang di  Sabah bahawa Gagasan Rakyat dan GRS akan menjadi platform politik yang kuat pada  masa akan datang di Sabah. 

Hajiji turut mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan GRS yang kini dianggotai  tujuh parti dalam menghadapi apa saja cabaran ke arah membangunkan Sabah seperti  aspirasi rakyat negeri ini. 

“Inilah perjuangan kita dalam Gagasan Rakyat, kita pilih parti lokal, cukuplah kita ikut  parti nasional. Sekarang tiba masa untuk kita pakai parti lokal, tapi kita tidak boleh gaduh  dengan parti nasional. Kita mesti juga kawan dan kerjasama dengan parti nasional tapi  keutamaan kita ialah parti tempatan”. 

“Kita juga mesti kuatkan GRS dan kerjasama dengan rakan komponen kerana kalau kita  bersatu padu kita akan lebih kuat dan maju. Kita perlu belajar dari kesilapan lalu, kita  banyak bergaduh menyebabkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan pembangunan daerah termasuk di Pitas akan  diberi keutamaan sejajar komitmen kerajaan GRS untuk membawa pembangunan  menyeluruh dan membela nasib rakyat negeri ini. 

Katanya, setiap projek yang diumumkan kerajaan pasti akan dilaksanakan demi  pembangunan negeri dan kepentingan rakyat terutama di luar bandar. 

Tamat