Persatuan Etnik Perlu Terus Bangun & Martabat Budaya Etnik

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa  persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan dan memartabatkan budaya etnik  masing-masing agar tidak terus dilupakan, malah juga terkenal di peringkat  antarabangsa.  

Katanya, budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan rakyat yang menjadi  identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan  semua. 

Menurutnya, usaha perlu dilakukan untuk mengetengahkan budaya dan tradisi yang  diwarisi kepada rakyat secara keseluruhannya terutama generasi muda.  

“Era globalisasi dan kemodenan masa kini dikhuatiri akan menyebabkan anak-anak  muda kita tidak mengenali budaya bangsa masing-masing. Kita perlu memastikan tradisi  dan budaya yang diwarisi tidak pupus malah harus dipastikan terus kekal hingga ke  generasi akan datang”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Muzik dan Tarian Tradisi Dusun  (FMTD) Zon Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman pada Ahad. 

Hajiji berkata, festival itu yang julung kali diadakan bertujuan menghidupkan semula dan  melestarikan kekayaan kesenian Dusun di daerah Tuaran dan Tamparuli khususnya  muzik tradisi Mojumbak dan tarian-tarian tradisi Dusun lain yang terdapat di daerah itu. 

Menurutnya, tema festival, “Pemerkasaan Tradisi ke Arah Keberterusan dan  Kelestarian Budaya Dusun” di Sabah jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk  memastikan tradisi dan budaya etnik Dusun itu perlu dikekalkan serta diwarisi hingga ke  generasi akan datang.  

Katanya, kerajaan negeri menyokong dan menyambut baik penganjuran festival seperti  itu kerana ia sesuai dengan kepelbagaiaan budaya di Sabah yang memang unik dan  menarik. 

“Hasrat untuk menghidupkan semula dan melestarikan muzik tradisi Mojumbak dan  tarian tradisi ini menunjukkan satu perkembangan yang positif, menerusi penganjuran  festival ini”.

“Kekayaan budaya inilah merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus  dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri pelancongan, industri  seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana, berasaskan komuniti di Sabah”,  tegasnya. 

Hajiji berkata, tarian tradisi seperti limbai, sumazau dan magunatip serta muzik tradisi  seperti kulintangan sudah diketahui ramai tetapi saya percaya dengan lebih 30 etnik di  Sabah, masih banyak lagi khazanah budaya lama yang perlu diselongkar dan  diketengahkan seperti muzik tradisi Mojumbak agar tidak pupus ditelan zaman. 

Beliau percaya dengan perkongsian lagu dan muzik dari satu budaya ke budaya lain  akan memberi orang ramai gambaran tentang cara hidup yang berlainan, disamping itu  muzik dan lagu mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan orang ramai. 

“Umpamanya malam ini, orang ramai yang hadir bukan saja untuk memeriahkan majlis  ini tetapi dalam masa sama ia mampu mengeratkan hubungan rakyat berbilang kaum di  negeri ini”, tegasnya. 

Hajiji berharap Festival Muzik dan Tarian Tradisi Dusun (FMTD) dapat dijadikan sebagai  program tahunan agar menjadi satu lagi produk pelancongan baharu di Sabah. 

Tamat