Rakyat Perlu Bersama Kerajaan Kekalkan Kestabilan Politik & Ekonomi

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak seluruh  rakyat khususnya masyarakat di daerah Tuaran untuk bersama-sama kerajaan  mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi. 

Katanya, dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada rakyat, maka kerajaan  dapat memberi fokus terhadap kelancaran pembangunan di negeri ini. 

Menurutnya, banyak lagi kemudanan infrastruktur seperti balai raya, bekalan air dan  elektrik serta jalan raya di kampung-kampung yang perlu dinaiktaraf. 

"Perancangan dan peruntukan bagi projek-projek ini telah dan sedang diatur. Sebagai  wakil rakyat kawasan ini, saya akan memberi perhatian sewajar dalam setiap  pemasalahan rakyat. Bukan hanya di kawasan ini, malah di seluruh negeri", katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Suang Olung 2023 di  Dewan Suworoh, Kampung Selupoh Tuaran, hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, walaupun  sentiasa sibuk kerana mentadbir negeri, namun hatinya tidak pernah melupakan  penduduk kampung di kawasannya. 

"Sebab itu pada hari ini, walaupun bulan Kaamatan yang diraikan sepanjang bulan Mei  telah berakhir, saya tetap hadir menyantuni orang-orang kampung yang terus  memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada saya selama ini. Terima kasih,  ponsikou om Kotobian Tadau Tagayo Kaamatan". 

"Saya berasa gembira kerana dapat balik kampung dan turun padang untuk berjumpa  dan bersama-sama meraikan Pesta Kaamatan Suang Olung. Saya anggap sambutan  Kaamatan Suang Olung ini amat istimewa kerana ia menggabungkan 11 buah  kampung. Usaha ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dan toleransi di  kalangan penduduk ini sentiasa kukuh dan terpelihara", tegasnya. 

Hajiji berharap semangat dan usaha yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus  tersemat di dalam diri masyarakat untuk memacu peningkatan sosio ekonomi dan  kemakmuran bersama. 

Katanya, tema Kaamatan tahun ini iaitu 'Kaamatan Membudayakan Perpaduan’, jelas  meminta rakyat bersama-sama memelihara dan meningkatkan lagi perpaduan, toleransi  dan semangat kekitaan yang tinggi. 

Menurutnya, Pesta Kaamatan merupakan perayaan yang diraikan setiap tahun oleh  masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR) dan merupakan satu budaya  yang diwarisi sejak zaman-berzaman.  

"Pesta ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang  baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan  mengeratkan silaturahim, sama ada dari suku kaum Dusun Lotud, Kadazan atau Bajau  Sama". 

"Semoga Perayaan Pesta Kaamatan Suang Olung ini akan terus memberikan inspirasi  dan kekuatan kepada kita untuk memperkasakan lagi kestabilan, keamanan dan  kemakmuran rakyat. Atas faktor tersebut, Kerajaan Negeri menyambut baik dan  mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini dan mencadangkan agar  perayaan ini dilaksanakan secara bergilir mengikut kampung setiap tahun, serta akan  melibatkan penyertaan lebih banyak lagi kampung-kampung lain", tambahnya. 

Selain merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Suang Olung, Hajiji turut merasmikan  secara serentak Dewan Serbaguna Kampung Selupoh Pogun Lawid, Dewan Serbaguna  Kampung Kiwatu di majlis itu. 

Tamat