Sabah rancang bina SMAN berkonsep AI, perkukuh pendidikan Islam

TAWAU: Kerajaan Negeri merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah  Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan sebelah  Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung, sebagai langkah strategik memperkasa  pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perancangan itu  melibatkan baki tanah seluas 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan  diselaraskan melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal  Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). 

Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam  menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama  secara berterusan. 

“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha-usaha pemerkasaan  pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,”  katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadhan-Malam Mencari Kekasih” di Dewan  Masyarakat Tawau, di sini, pada Ahad. 

Hajiji menegaskan, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui  pembangunan fizikal, bangunan tinggi atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu  berpaksikan kepada akhlak rakyat, kekuatan iman dan kesuburan ilmu yang berteraskan  nilai agama. 

Menurut beliau, pembangunan pendidikan Islam bukan sekadar penyediaan  infrastruktur, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal  insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah. 

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap  pembangunan SAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu,  berakhlak dan berdaya saing. 

Hajiji berkata, usaha berkenaan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang  meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.

Pada sebelah pagi, beliau turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang  mencatat sejarah tersendiri sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan  JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI. 

Katanya, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan Smart White Board di  bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari  dengan keperluan pendidikan abad ke-21. 

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama  tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring  dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam. 

“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran, tetapi  turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi  cabaran masa depan,” katanya. 

Hajiji berkata, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan  antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial,  keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh. 

Pada masa sama, beliau mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal  menjelma sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal  ibadat kepada Allah SWT. 

Tamat