KM dan isteri hadir Majlis Penghargaan dan Terima kasih

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri  Panglima Datuk Hajah Juliah Salag telah menghadiri Majlis Penghargaan dan Terima Kasih di  Dewan Seri Sulaman, di sini pada Sabtu. 

Majlis Penghargaan dan Terima Kasih Daripada Hajiji itu diadakan sebagai tanda penghargaan  dan terima kasih kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus berdiri teguh  menyokong kepimpinan beliau dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan agenda pembangunan  negeri. 

Ketibaan Hajiji bersama Juliah, disambut meriah dengan iringan persembahan kebudayaan,  bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen  berterusan Ketua Menteri kepada rakyat Sabah. 

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada  seluruh rakyat Sabah, jentera parti, penjawat awam serta semua pihak yang terus memberikan  kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan. 

Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran negeri merupakan prasyarat  penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara  berkesan demi kepentingan rakyat. 

Hajiji turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri serta  memastikan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat  dilaksanakan dengan lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat. 

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis tempatan  dan artis jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan program itu sebagai platform  mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh  makna. 

Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey,  Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin dengan pelbagai lagu  popular sekali gus memeriahkan suasana majlis hingga ke penghujung acara. 

Tamat