Sambutan Krismas platform kukuh perpaduan, cerminkan keharmonian rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Sambutan Krismas Sabah 2025 bukan sekadar diraikan sebagai  upacara keagamaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyatukan rakyat  Sabah dalam semangat muhibah, saling menghormati dan kebersamaan, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, sambutan Krismas peringkat negeri itu mencerminkan kematangan  sosial serta keindahan keharmonian rakyat Sabah, sekali gus membuktikan  kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang bukan pemisah, malah kekuatan yang  menyatukan rakyat sebagai satu keluarga besar. 

Menurutnya, tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai dalam Kasih” (Hope for  Peace in Love), amat bersesuaian kerana mengajak seluruh rakyat kembali kepada nilai  asas kemanusiaan seperti kedamaian, kasih sayang, harapan dan tanggungjawab  bersama. 

Beliau menegaskan, harapan adalah keyakinan bahawa melalui kasih sayang,  kehidupan yang lebih aman, makmur dan bermakna dapat dibina, manakala kedamaian  sejati dizahirkan melalui rasa saling menghormati serta diperkukuhkan dengan  perbuatan ihsan. 

“Kasih sayang menjadi asas kepada semua bentuk perhubungan sama ada dalam  keluarga, komuniti, masyarakat serta hubungan kita dengan alam sekitar. Inilah falsafah  yang ingin kita semai sepanjang penganjuran Sambutan Krismas Sabah 2025,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Sabah Christmas  Celebration 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Selasa. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja  Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam. 

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri, Tun  Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan  Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tusin.

Ketua Menteri berkata, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),  sambutan ini turut menjadi wadah mengukuhkan nilai perpaduan sosial dan  kesejahteraan rakyat. 

Katanya, pembangunan yang dihasratkan kerajaan negeri bukan hanya diukur melalui  kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi juga melalui keharmonian hubungan sesama  insan, kekuatan institusi kekeluargaan, keprihatinan sosial serta rasa tanggungjawab  terhadap ciptaan Tuhan. 

“Saya amat berbesar hati kerana pelbagai program dan aktiviti telah dianjurkan  sepanjang sambutan ini dengan penekanan kepada aspek keluarga, komuniti dan sosial  yang saling melengkapi dalam membentuk masyarakat seimbang dan berdaya tahan. 

“Sambutan ini mengingatkan kita bahawa keluarga adalah tempat bermulanya kasih  sayang dan harapan. Dalam komuniti pula, semangat muafakat dan kerjasama menjadi  kunci kepada kehidupan bermasyarakat yang harmoni,” katanya. 

Hajiji percaya sambutan seperti ini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan  rakyat Sabah yang berbilang bangsa dan agama, sekali gus menampilkan wajah  sebenar negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian, namun kekal bersatu dalam nilai  kemanusiaan. 

Beliau berharap nilai murni yang diterapkan melalui sambutan ini akan terus memberi  inspirasi kepada rakyat untuk mengekalkan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan  negeri. 

“Bagi pihak seluruh kepimpinan negeri, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari  Krismas kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya,” katanya. 

Tamat