GRS adakan perbincangan PRK Kinabatangan dan Lamag

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang sama ada akan  menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan  Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 24 Januari depan. 

Ketua Menteri dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata,  keputusan mengenai kedua-dua kerusi itu masih dalam perbincangan. 

“Itulah yang kita akan bincangkan. Belum dapat dipastikan lagi, tetapi prinsipnya kita  akan beri laluan,” katanya. 

Beliau menegaskan sebarang keputusan akhir akan dibuat berdasarkan rundingan dan  persetujuan semua pihak demi kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri. 

“Setakat ini, kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan beri  penghormatan dan laluan kepada parti yang menang, kebetulan mereka sebahagian  daripada Kerajaan Negeri sekarang. 

“Kita bersedia memberi laluan dan membantu rakan parti supaya mereka dapat  memenangi pilihan raya kecil tersebut,” katanya selepas menghadiri persidangan DUN  Sabah, hari ini. 

Bagaimanapun Hajiji menegaskan, keputusan muktamad masih belum dibuat kerana  beberapa perkara perlu dibincangkan dalam gabungan itu. 

“Nanti saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan  Nasional,” katanya mengenai rundingan lanjut PRK berkenaan. 

Kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berlaku susulan  pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin,  yang meninggal dunia baru-baru ini. 

Tamat