KM: Mekanisme selesai bayaran 40 peratus sedang dibincang, dijangka selesai dalam tempoh 3 bulan

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin rundingan  pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh tiga  bulan seperti diperintahkan dalam keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober lalu. 

Beliau berkata, rundingan itu sudah dimulakan semalam menerusi perbincangan  peringkat pegawai yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) bagi pihak kerajaan  negeri dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia  mewakili kerajaan Persekutuan. 

Katanya, perbincangan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu antara lain berkaitan  mekanisme atau cara menyelesaikan pembayaran 40 peratus yang menjadi hak negeri  ini. 

“Mereka sudah bincang, SKN sudah beritahu saya bahawa mereka sudah bermesyuarat  dengan Persekutuan tentang mekanisme atau cara menyelesaikan 40 peratus itu,  macam mana pembayaran dan lain-lain. 

“Jadi kita tunggulah, sekarang ia di peringkat pegawai dan SKN mewakili kerajaan  negeri, manakala Ketua Setiausaha Perbendaharaan mewakili kerajaan Persekutuan.  Kita ada masa lagi, mahkamah bagi kita tiga bulan, 90 hari untuk bincang baru  diputuskan kerajaan Persekutuaan dan negeri nanti,” katanya ditemui selepas Program  Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Tempasuk dan Usukan di perkarangan kediaman Datuk Japlin Akim di sini, pada  Selasa. 

Hajiji ditanya mengenai perkembangan rundingan 40 peratus selepas kerajaan  Persekutuan memutuskan tidak merayu keputusan mengenai perkara itu yang dibuat  Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober lalu. 

Mengulas lanjut, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata,  penentuan mekanisme itu agak teknikal dan memerlukan beberapa perbincangan  sebelum kerajaan negeri dan persekutuan mencapai persetujuan berhubung perkara  itu.

“Sebenarnya ini agak teknikal sedikit, jadi perinciannya tidak dapat dijelaskan sekarang.  Jadi kita tunggulah, mereka mungkin bincang berkali-kali baru dapat capai persetujuan,”  katanya. 

Ketua Menteri turut menjelaskan bahawa belum ada jumlah hasil yang dituntut Sabah  setakat ini dan kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk  memaklumkan agihan hasil 40 peratus itu nanti. 

“Belum ada amaun, kita pun tidak tahu berapa hasil dikutip dari Sabah secara jelas. Ini  kita minta biar Kerajaan Persekutuan maklumkan agihan peruntukan, apa 40 peratus  dan apa agihan tanggungjawab kerajaan persekutuan kepada Sabah,” katanya. 

Terdahulu, pada majlis itu, Hajiji mendedahkan bahawa beliau ada meminta Perdana  Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim supaya tidak merayu keputusan  Mahkamah Tinggi berhubung kelayakan 40 peratus hasil bersih Sabah yang termaktub  dalam Perlembagaan. 

“Dia (Perdana Menteri) telefon saya dan beritahu ‘InsyaAllah kita tidak buat rayuan 40  peratus’. Dia tidak rayu itu dan apa yang dirayu (Jabatan Peguam Negara) itu adalah  ayat yang dirasa tidak adil dibuat oleh kerajaan dulu. 

“Jadi, berilah mereka peluang untuk menyelesaikannya. Kelmarin sudah mula  rundingan, jadi apa lagi. Kalau selesai rundingan ini nanti, pendapatan kita akan  bertambah,” katanya. 

Hajiji turut mendedahkan bahawa beliau tidak takut berunding dengan kerajaan  persekutuan, malah paling banyak bersuara setiap kali Mesyuarat MA63 diadakan. 

“Saya ada cara sendiri mentadbir, saya tidak takut berunding dengan kerajaan  persekutuan, malah dalam Mesyuarat MA63, saya yang paling banyak bercakap. 

“Perdana Menteri pun kata Hajiji nampak saja sentimental, tapi dalam mesyuarat banyak  cakap. Tapi saya diam saja (tidak heboh-heboh) pasal perkara ini kerana itu cara saya,”  katanya. 

Tamat