Usaha kerajaan musnah jika pembangkang berkuasa - KM

TUARAN: Program pembangunan dan pembaharuan yang disusun kerajaan bakal  musnah jika pembangkang dibiarkan berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Dewan  Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah) pada 29 November ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyuarakan kebimbangan  itu berdasarkan apa yang berlaku ketika Parti Warisan mengambil alih kerajaan pada  2018. 

Beliau berkata, Warisan pada ketika itu lebih banyak berdendam dan mengambil  tindakan drastik termasuk menamatkan konsesi air yang bukan saja menyebabkan  kerugian lebih RM315 juta kepada kerajaan, malah menjejaskan kestabilan bekalan air. 

"Mereka potong lagi konsesi air hingga kerajaan rugi RM315 juta, mereka tidak fikir itu,  mereka hanya mahu balas dendam dan buat bohong, fitnah. 

"Pemimpin seperti ini dan parti yang mereka pimpin tidak boleh kita sokong jadi  kerajaan, hancur kita. Saya tidak mahu cakap, tapi rakyat mesti tahu ini. 

"Berpuluh tahun jadi wakil rakyat, Shafie bilang dia paling lama, tapi mungkin dia lupa,  kerana dia ingat dia saja pandai. Saya tidak pernah dabik dada, kalau wakil rakyat, saya  lagi lama daripada Shafie," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Penutupan Hari Sukan dan Keluarga Unit Pemimpin  Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parlimen Tuaran, di Dewan Seri Sulaman, di sini,  pada Khamis. 

Hajiji berkata, seorang lagi pemimpin yang pernah berada dalam Kabinet pimpinannya  melakukan cubaan merebut kuasa melalui Langkah Kinabalu, namun tidak  menunjukkan prestasi yang bagus dalam kerajaan. 

"Selama di Kabinet tidak tahu berapa kali saja datang mesyuarat, tidak buat kerja,  banyak jalan berlubang, tutuplah semua. Lebih tiga tahun jadi menteri sekarang cakap  kerajaan gagal, tapi sebenarnya mereka yang gagal bukan kerajaan yang saya pegang,"  katanya. 

Hajiji menjelaskan banyak kejayaan yang dilakar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah  (GRS) dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kebajikan a 

rakyat, malah melaksanakan banyak inisiatif baharu yang tidak pernah dilakukan  kerajaan sebelum ini. 

Atas sebab itu, katanya rakyat perlu memberi kemenangan kepada GRS bagi  memastikan kesinambungan pencapaian itu dan usaha yang dirancang agar rakyat  terus menikmati manfaatnya. 

Sementara itu, Hajiji membayangkan untuk menghabiskan tempoh perkhidmatannya  sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 jika GRS memenangi  PRU Sabah pada 29 November ini. 

Calon GRS bagi kerusi DUN Sulaman, itu berkata beliau mahu memastikan  kemenangan berpihak kepada GRS bagi membolehkan agenda pembangunan di  bawah halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan untuk lima tahun lagi sebelum  menyerahkan tanggungjawab kepada penggantinya nanti. 

Sebagai Ketua Menteri, katanya beliau sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk  Sabah dan rakyatnya tanpa melupakan rakyat dan penyokongnya sendiri di Sulaman  meskipun sibuk dengan tugas negeri yang memerlukan komitmen besar. 

"InsyaAllah, apapun yang kita buat dengan baik, Tuhan akan balas, jangan aniaya  orang, jangan tekan orang. Saya tidak pernah aniaya dan tekan orang walaupun mereka  terang-terang di pihak sebelah (pembangkang). 

"Ada pegawai yang dilantik dulu (kerajaan sebelum ini), yang penting kerja bagus dan  mereka masih teruskan tugas sehingga sekarang. Itulah saya. Jadi tidak juga bagus  saya jadi Ketua Menteri lama-lama, tidak pandai cantas orang. Kalau terlampau bagus  pun, orang anggap kita lemahlah sentimentallah," katanya. 

Beliau juga mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin parti komponen GRS dan  akar umbi di Tuaran supaya sama-sama memastikan sokongan yang kuat daripada  rakyat kepada GRS bagi memenangi pilihan raya kali ini. 

"Kita mesti ada perasan yang baik untuk tujuan menangkan kerajaan kita, itu saja.  Daripada pilih orang lain, lebih bagus parti kita GRS," katanya. 

Tamat