Pesta Kaamatan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum

TUARAN: Sambutan acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan mampu menjadi  platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan  budaya di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perayaan ini juga  menjadi platform untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina  jambatan persefahaman antara masyarakat etnik yang berbeza. 

Selain itu katanya, Pesta Kaamatan juga adalah peluang bagi masyarakat  Kadazandusun Murut dan Rungus untuk mempamerkan tradisi dan adat tradisi mereka,  sama ada melalui tarian, muzik, serta pakaian tradisional. 

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program  kebudayaan serta keagamaan. Kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan  lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita  mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing. 

“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap  rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini.  

“Justeru, ini amat signifikan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan warisan  kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan. Budaya merupakan aspek penting dalam  kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta  dimartabatkan untuk kepentingan semua,” katanya sempena Majlis Pelancaran  Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, di sini,  pada Isnin. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri  Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G  Kitingan. 

Ketua Menteri berkata Pesta Kaamatan ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa  kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara  mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan.

“Semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi  amalan hidup kita, terus diperkukuhkan dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat  Malaysia Madani, menerusi perayaan ini. 

“Sepanjang tempoh sebulan ini, pastinya banyak sambutan Kaamatan yang akan  diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri. Oleh itu, saya mengajak semua  pihak untuk sama-sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kamaatan di  peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing.  

“Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi  kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada  keseluruhannya,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji juga meminta agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah  meningkatkan usaha mereka untuk mempromosikan dan mempamerkan budaya  masing-masing.  

“Berbanggalah dengan identiti budaya kita yang diwarisi sejak turun-temurun. Kekalkan  kelangsungan bukan sahaja identiti budaya malah bahasa etnik masing-masing untuk  anak bangsa akan datang. 

“Saya berasa gembira kerana ada kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk  menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan pada masa yang sama  mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya. 

Beliau turut berasa gembira kerana rakyat telah menyokong usaha kerajaan dalam  setiap aspek pembangunan di negeri ini. 

“Saya menyeru rakyat untuk terus bersama kami sebagai rakan kongsi dalam usaha ini  dan bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik serta kemajuan ekonomi demi  kelancaran pembangunan di negeri ini,” katanya. 

Tamat