Sabah secara rasmi memperoleh 25 peratus ekuiti dalam PC FSSB

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berasa  bangga dengan pengambilalihan rasmi Sabah bagi 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS  Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PC FSSB) yang memberikan SMJ Sdn Bhd  (SMJSB) milik kerajaan negeri kepentingan dalam ammonia berskala dunia PC FSSB  dan kemudahan pengeluaran urea. 

Ini dapat dilakukan berikutan pemeteraian perjanjian muktamad antara SMJSB dan  PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) pada hari ini, selepas Perjanjian Utama  (HOA) yang ditandatangani pada 9 Januari 2023. 

Hajiji berkata pengambilalihan terbaharu ini adalah sebahagian daripada Perjanjian  Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan  PETRONAS pada 7 Disember 2021 untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua  pihak dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah. 

"Langkah yang diterjemahkan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah untuk  memberi Sabah perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas ini  merupakan suatu petanda baik untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi,”  katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr Dionysia Aloysius Kibat dan Pengarah Urusan  merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof masing masing menandatangani untuk SMJSB dan PCG. 

PC FSSB, telah ditubuhkan pada tahun 2011 untuk membina, memiliki dan  mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman  Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). Kemudahan PC FSSB direka untuk  menghasilkan 1.9 juta tan metrik setahun ammonia dan urea. 

Ia adalah loji ammonia dan urea terbesar di Asia Tenggara dan loji urea ketiga terbesar  di Asia Pasifik. 

Sabah juga telah mencapai kemajuan signifikan melalui syarikat milik penuhnya, Sabah  Energy Corporation (SEC) berikutan pemeteraian perjanjian dengan PETRONAS pada  Oktober tahun lalu, yang memberikan SEC aset saluran paip gas hiliran terpilih dan  kontrak bekalan gas asli.

SMJSB juga telah memuktamadkan pengambilalihan 50 peratus kepentingan  penyertaan bukan operasi dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Samarang (PSC)  melalui Perjanjian Farm Out (FOA) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), anak  syarikat milik penuh PETRONAS. baru-baru ini, pada 4 April. 

Tamat