GRS bersikap terbuka terhadap parti komponen pilih bertanding solo

PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap parti komponennya  yang mahu meninggalkan gabungan itu kerana memilih untuk bertanding secara solo  pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, GRS tidak mendesak  parti komponennya untuk meninggalkan GRS, namun jika mahu bertanding solo,  terserah kepada parti terbabit untuk membuat keputusan. 

Beliau yang juga Pengerusi GRS menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan GRS  berdasarkan kerjasama baik dalam kalangan parti komponennya, selain sokongan kuat  rakyat terhadap gabungan itu. 

"InsyaAllah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan  komponen lain terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insyaAllah  GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.  

"Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan," katanya ketika  merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan  Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan  Masyarakat Daerah Pitas, di sini pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala  Tuju Sabah SMJ sejak hampir lima tahun lalu adalah bukti nyata keupayaan kerajaan  negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah.  

Jelasnya, mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan,  sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ. Walaupun berdepan pelbagai  cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat.  SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil. 

Tamat