KM: Jadikan TV Sabah sebagai platform dunia kreativiti

PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru kepada  seluruh penggiat media dan penyiaran, khususnya warga TV Sabah, untuk menjadikan  platform ini sebagai dunia kreativiti dan tempat berkarya.  

“Saya amat menghargai kerjasama erat penggiat seni, pempengaruh, artis, bahagian  teknikal penyiaran, dan studio teknikal bagi memartabatkan industri ini dan menarik  pelaburan dari syarikat korporat tempatan dan luar negara,” katanya sempena majlis  makan malam pelancaran TV Sabah dan Berita TV di Hongkod Koisaan, KDCA hari ini 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr  Jeffrey Kitingan. 

“Saya juga berharap pasukan TV Sabah untuk terus berkarya, mewarnai, dan  memajukan negeri ini dengan inovasi dan kreativiti.  

“Saya yakin dengan potensi yang kita miliki di Sabah – dalam aspek bakat dan sumber  – tidak mustahil Sabah akan mencapai visi dan menjadi peneraju industri kreatif yang  mampu bersaing di peringkat nasional dan kebangsaan,” katanya. 

Ketua Menteri berharap menerusi kerjasama antara TV Sabah dengan beberapa  syarikat termasuk berkaitan industri seni membuka lebih banyak peluang yang boleh  diterokai untuk masa depan bidang penyiaran dan penerbitan media di negeri Sabah.  

“Ini bukan sahaja demi memartabatkan dunia penyiaran dan kreatif di negeri ini, malah  membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah dalam bidang  penyiaran dan penerbitan media,” katanya. 

Dalam majlis tersebut TV Sabah turut menandatangani MoU dengan lima syarikat dalam  dunia media kreatif, iaitu Breeze Magazine, sebuah majalah lifestyle di Sabah;  Persatuan Filem dan Visual Sabah; Persatuan Kebudayaan Kadazandusun atau KDCA  ; Syarkat Music Right Sabah – yang berkaitan hak cipta lagu dan royalti; dan Syarikat  Millenium Virtual Production – berkaitan teknikal penyiaran. 

Hajiji berkata era digital masa kini telah mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh  pelusuk dunia, tidak terkecuali di Sabah. 

“Peratusan penonton menggunakan aplikasi media streaming semakin meningkat  disebabkan kemudahan yang disediakan aplikasi media ini berbentuk fleksibel, senang  diakses dan mempunyai lebih banyak pilihan.  

“Sebagai TV digital yang menyajikan 70 peratus kandungan berkaitan Sabah, TV Sabah  telah berjaya mempromosikan kekayaan budaya, warisan, tradisi, dan ekosistem  semula jadi Sabah sebagai tarikan pelancongan utama.  

“Dengan pelancaran Berita TV, TV Sabah akan turut menyajikan pengisian program  yang berfokuskan kepada politik, ekonomi, hiburan, sukan dan sosial,” katanya. 

Sejak beroperasi, TV Sabah juga boleh dicapai melalui media sosial, apps dan  penstriman “over-the-top” (OTT) OTT – sekali gus membolehkan capaian bulanan  melebihi 20 juta.  

“Ini telah menunjukkan peningkatan konsisten penonton dan saya yakin saluran ini  sudah pasti akan menjadi wadah kepada penonton untuk mendapatkan berita-berita  terkini khususnya yang berlaku di Sabah,” katanya. 

Tamat