Penjawat awam aset utama jayakan dasar kerajaan

KOTA KINABALU: Penjawat awam adalah aset utama kerajaan negeri dalam melaksanakan  dasar yang digubal serta menterjemahkannya kepada tindakan konkrit demi kejayaan  pembangunan Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan, tanpa sokongan,  komitmen dan kecekapan warga perkhidmatan awam, segala perancangan kerajaan termasuk  pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak akan dapat dicapai dengan berkesan. 

“Saya percaya segala perancangan SMJ akan terlaksana dengan jayanya dengan bantuan  para penjawat awam yang sihat, cergas dan cerdas. Mereka adalah aset utama kerajaan negeri  yang memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat langsung  kepada rakyat,” katanya. 

Hajiji berkata demikian pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Muhibbah Jabatan Ketua Menteri  (JKM) Ke-14, Tahun 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Jumaat. 

Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam  Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan. 

Beliau menekankan bahawa penganjuran Pesta Sukan Muhibbah bukan sekadar medan  pertandingan, sebaliknya platform membina semangat kekitaan, disiplin serta memperkukuh  perpaduan di kalangan penjawat awam. 

“Nilai persahabatan dan semangat muhibbah yang terjalin lebih penting daripada sekadar  mengejar kemenangan. Sukan menjadi jambatan penyatuan tanpa mengira kedudukan atau  latar belakang,” katanya. 

Hajiji turut menyeru warga perkhidmatan awam khususnya jabatan dan agensi di bawah Jabatan  Ketua Menteri agar terus bersama-sama membantu kongsikan usaha-usaha yang telah, sedang  dan akan dilaksanakan kerajaan negeri kepada rakyat secara keseluruhannya. 

Menurutnya, pesta yang berlangsung sejak 19 September lalu menyaksikan penyertaan tujuh  pasukan iaitu JKM Perdana, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah,  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Sawit Kinabalu, Yayasan Sabah  dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). 

Katanya, sebanyak 15 acara utama dipertandingkan, selain lima acara baharu termasuk E sukan, petanque, catur, karom dan dart, sekali gus menyerlahkan semangat juang dan bakat  sukan di kalangan warga perkhidmatan awam. 

Tamat