Sabah Mampu Catat Pertumbuhan Berterusan: Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah kini mampu mencatat pertumbuhan berterusan melalui  pelaksanaan pelbagai program pembangunan di seluruh negeri, kata Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)  misalnya, kini berada di landasan yang betul untuk membawa negeri Sabah dan  rakyatnya ke hadapan melalui teras-teras utama SMJ. 

Menurutnya, agenda Sabah Maju Jaya akan memberi manfaat kepada Sabah terutama  rakyat di luar bandar agar tidak ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan. 

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita sentiasa komited dalam memastikan  segala perancangan, dasar dan program berjalan dengan lancar”, katanya. 

Beliau berkata demikian dalam rakaman perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri  2023 bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang akan disiarkan pada hari  lebaran. 

Katanya, beliau bangga kerana negeri Sabah yang dianugerahi kepelbagaian budaya  dan kepercayaan, membolehkan kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta  saling menghormati antara satu sama lain.  

“Keamanan dan keharmonian masyarakat kita telah membuka ruang yang luas untuk  kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan  negara ke tahap yang lebih baik. Dengan usaha ini kita akan menghakiskan segala  halangan yang boleh memisahkan antara kita sebagai bangsa Malaysia”, tegasnya. 

Hajiji berkata, Hari Raya Aidilfitri adalah hari yang ditunggu umat Islam bagi  menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mulia dan bermulanya 1 Syawal,  sebagai tanda kemenangan dalam menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan  Ramadan. 

Beliau berkata, dalam menyambut ketibaan Syawal yang penuh baraqah, marilah kita  merenung kembali tahun sebelum ini dan berazam untuk melakukan yang lebih baik lagi  demi kejayaan masa hadapan. Saat ini juga adalah masanya untuk kita mengeratkan  hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai. 

“Saya mendoakan terbaik untuk semua rakyat Malaysia di Sabah sempena hari yang  mulia ini. Marilah kita luangkan sedikit masa untuk mengucapkan jutaan terima kasih  kepada pasukan keselamatan yang tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri ini demi  berkhidmat untuk negara”. 

“Kita juga merakamkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, pegawai  penguatkuasa undang-undang, petugas kesihatan yang bekerja tanpa jemu, berkhidmat  serta melindungi rakyat dan negara kita. Marilah juga kita terus mengingati mereka yang  memerlukan dan serba kekurangan serta mempamerkan rasa empati terhadap nasib  mereka”, katanya. 

Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya  Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di negeri ini. 

Tamat