Parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan parti  tempatan mesti dominan dalam politik Sabah dan diutamakan dalam membentuk kerjasama  bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). 

Beliau berkata, kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk oleh parti  tempatan ketika ini perlu diteruskan dan atas sebab itu pilihan raya kali ini sangat penting kepada  gabungan itu. 

"Kita mahu teruskan kerajaan ini dan kerana itu bagi saya pilihan raya kali ini amat penting  sekali, jangan kita tersalah pilih. Parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah, mesti  diutamakan.  

"Soal kerjasama itu bab lain, tapi GRS sebagai parti tempatan, amat penting kita pertahankan,  selari dengan sentimen rakyat di bawah yang mahu parti tempatan sebagai peneraju utama  kerajaan. 

"Sebagai Pengerusi GRS, saya akan pastikan perkara ini," katanya dalam ucapan perasmian  Kongres Agung Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pusat 2025 di Dewan Terbuka  Seri Dungkuan Kampung Rampayan Laut dekat sini pada Ahad. 

Hajiji berkata, beliau tidak mudah untuk menyerahkan hak dan perjuangan GRS kepada mereka  yang cuba melakukan sesuatu tidak baik terhadap gabungan itu. 

Sehubungan itu, beliau menyatakan harapan agar semua pemimpin dan ahli parti komponen  GRS, termasuk USNO turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai perjuangan  GRS yang menekankan falsafah 'Rumah Kita, Kita Jaga' dan "Sabah First". 

"Ini matlamat perjuangan kita dalam GRS, kalau kita cakap 'Rumah Kita, Kita Jaga' fahamlah,  takkan perlu kita hurai satu persatu, senang saja. 

"Rumah kita jaga, jangan gaduh, kalau gaduh orang lain yang untung dan rugi kita. Jadi, jangan  gaduh, yang penting kita menang dalam pilihan raya untuk kita teruskan perjuangan ini, bantu  rakyat dan bangunkan negeri kita," katanya. 

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menekankan USNO dan parti komponen lain  dalam GRS mempunyai peranan yang sama penting dalam gabungan berkenaan. 

"Oleh yang demikian saya harap USNO dan seluruh kepimpinan serta penyokongnya mesti  mengembleng tenaga pastikan GRS menang pada pilihan raya nanti.

"Kerana itu penyertaan USNO dalam GRS amat penting sekali. Bukan saja USNO, tapi parti  komponen lain dalam GRS, semua mempunyai peranan amat penting untuk memastikan  kekuatan kita terutama menghadapi pilihan raya yang tidak lama lagi ini. 

"USNO mesti menggembleng tenaga mereka bersama GRS untuk kita mendapat semula  mandat rakyat. Apabila kita tubuh GRS, kita jemput parti komponen yang ada sekarang ini untuk  kita sama-sama berjuang pertahan hak Sabah. 

"Niat kita ikhlas, baik kerana sebagai orang Sabah, kita mesti pertahan hak kita sebagai orang  Sabah atau Sabahan, kita kena satu hati," katanya. 

Beliau berkata, jika hanya satu parti yang berjuang, ia tidak mungkin berjaya menggalas tugas  besar itu dan atas sebab itu, GRS memerlukan semua rakan melaksanakan tanggungjawab  yang sama tanpa mengira sama ada parti itu besar atau kecil. 

"Kita mahu perjuangkan nasib rakyat kita yang masih tertinggal dan perlu pembelaan, kita mahu  angkat taraf hidup mereka yang masih banyak susah. 

"Kita mahu hebatkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Sabah kerana itulah bagi saya  peranan GRS yang sekarang ini menjadi kerajaan perlu kita bagi mandat sekali lagi untuk  memerintah Sabah selepas pilihan raya nanti," katanya. 

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyatakan penghargaannya atas komitmen USNO terhadap GRS dengan slogannya 'USNO dan GRS berpisah tiada' seperti disebut presidennya, Tan Sri  Pandikar Amin Haji Mulia. 

Tamat.