Aspek Keselamatan Awam Terus Diperkasa-Hajiji

KOTA KINABALU: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi  memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai  dan sejahtera, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi kesan kepada  persekitaran yang lebih selamat, malah akan meningkatkan keyakinan pelabur luar  untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini. 

"Keamanan yang kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri  iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya",  katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun  2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di  Menara Kinabalu, hari ini. 

Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa  bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri  ini.  

Katanya, tugas serta tanggungjawab mereka dalam bidang pekerjaan masing-masing  sangat mencabar dan pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan tidak  pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri  sendiri menjadi taruhan demi menjaga keselamatan, akan sentiasa diingati. 

Beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini agar terus melakukan kawalan kendiri bagi  mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan  peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu (1  April 2023) susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.  

"Justeru, saya berharap kita semua sentiasa berhati-hati dan perlu jaga diri demi  keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing", tegasnya. 

Hajiji berkata, setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari  Raya Aidilfitri sebagai mengenang jasa bakti dan menzahirkan penghargaan kepada  semua anggota keselamatan sama ada yang bertugas di sempadan, darat, laut dan  udara. 

"Tidak dilupakan juga pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan di jalan raya,  harta benda awam dan sebagainya. Begitu juga petugas kesihatan, doktor, jururawat  dan pasukan paramedik yang tidak pernah mengeluh tanpa mengira erti lelah dan masa  terutama ketika pandemik COVID-19, juga tidak dilupakan", tambahnya. 

Beliau berharap penganjuran majlis itu akan meningkatkan kesedaran terhadap  sumbangan bakti anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada bangsa dan  negara.  

"Pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita yang bertugas di perbatasan dan  terpaksa berjauhan dengan keluarga, demi untuk menjaga keamanan dan  ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan hari raya yang akan  menjelang tiba", tegasnya. 

Hajiji berkata, tahun ini sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian,  jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),  badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan  kuih-muih untuk diagihkan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan  menjelang aidilfitri. 

Beliau berharap lebih banyak lagi agensi kerajaan termasuklah GLC dan NGO tampil  untuk menghulurkan sumbangan pada masa akan datang. 

Tamat