Peranan aktif, berintegriti AMD sokong pelaksanaan dasar pembangunan negeri

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menegaskan  kepentingan peranan aktif dan berintegriti Ahli Majlis Daerah (AMD) dalam menyokong  pelaksanaan dasar pembangunan negeri. 

Beliau menekankan bahawa AMD bukan sekadar penyambung suara rakyat, tetapi juga  perlu menjadi agen pelaksanaan yang berkesan kepada inisiatif kerajaan, khususnya  Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“AMD perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Lengkap  dengan ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.  

"Ini penting untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyampaikan  bantuan serta program pembangunan kepada rakyat dengan cekap dan telus,” katanya  pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis  Daerah Tuaran Tahun 2025–2027 di Grand Ballroom Shangri-La Rasa Ria Resort dekat  sini. 

Katanya, keberhasilan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ bergantung kepada  komitmen semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD. AMD  perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam menyebarluaskan maklumat  dasar, inisiatif serta bantuan kerajaan hingga ke peringkat akar umbi. 

Hajiji turut menyenaraikan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan  dilaksanakan di daerah Tuaran, termasuk naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya,  bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan  tempatan. 

"Sebesar mana pun peruntukan pembangunan, ia tidak akan memberi makna tanpa  penyampaian yang cekap. Ahli Majlis perlu turun padang, melihat sendiri isu-isu rakyat  dan bertindak dengan penuh integriti, ikhlas dan telus," katanya. 

Beliau turut menyeru semua AMD supaya memainkan peranan sebagai jambatan antara  rakyat dan kerajaan, membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran dan memastikan  setiap dasar dan program kerajaan difahami dan diterima oleh masyarakat. 

Menurutnya, pelantikan AMD Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang  termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), mewakili suara empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu  Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.  

Katanya, kepelbagaian ini diyakini sebagai kekuatan dalam merangka dasar dan  menangani keperluan rakyat secara menyeluruh. 

“Saya yakin dengan iltizam yang tinggi dan semangat kerja berpasukan, AMD mampu  menggalas amanah ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Tuaran,” katanya. 

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid  Jahim, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin  Aliasnih, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk  Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau  dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya. 

Tamat