Kerajaan Negeri sumbang RM110 ribu untuk Anugerah Kewartawanan Kinabalu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM110,000 untuk Anugerah Kewartawanan Kinabalu tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 tahun lalu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan sumbangan itu  kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) selaku penganjur anugerah itu pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Rakan Media di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Sabtu. 

Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong dalam  ucapannya berkata, Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dihoskan khas oleh Ketua Menteri khusus untuk para pengamal media. 

Katanya, Hajiji dan Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan kerjasama pihak  media, yang terus memberi sokongan dan membantu melaporkan program-program  yang dilaksanakan oleh kerajaan. 

Menurutnya, sambutan tahun ini berbeza daripada tahun sebelumnya, kerana ia diadakan di Menara Kinabalu yang mempunyai dewan yang cantik dan indah. 

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji  Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Penerangan Negeri, Puan Jainisah Mohd  Noor, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Negeri Sabah, Encik Mohd.Yusni  Mohamed Ali, Presiden SJA, Puan Mariah Doksil, Presiden Persatuan Wartawan Kota  Kinabalu (KKJA), Encik Jimmy Goh, Ketua-Ketua Pengarang, Ketua-Ketua Biro akhbar  dan portal berita. 

Tamat.