Program Sabah Berselawat dapat tingkatkan kefahaman mengenai Islam

KOTA KINABALU: Penganjuran Program Sabah Berselawat 2023 dapat meningkatkan  ilmu dan kefahaman mengenai Islam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor.  

Beliau berkata majlis ilmu ini juga sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang  berniat untuk mentamadunkan masyarakat dengan usaha perpaduan dan bersatu untuk  memanfaatkan insaniah, ekonomi serta sosial. 

“Justeru, umat Islam seharusnya memanfaatkan penganjuran majlis agama seperti  berselawat ini. Saya mahu agar lebih banyak majlis selawat dapat diadakan di negeri ini  bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai agama Islam.  

““ Program Sabah Berselawat ini juga dapat menyuntik semangat dan memberi  kekuatan kepada kita sebagai umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.  

“Semoga penganjuran majlis Sabah Berselawat 2023 ini akan menjadi satu acara  tahunan yang diadakan oleh SABAHfm khususnya semasa bulan Ramadan bagi  mengimarahkan lagi majlis ilmu seperti ini dalam kalangan umat Islam,” katanya.ketika  merasmikan Program Sabah Berselawat sempena Sambutan Hari RTM ke-77 di Sabah  International Convention Centre (SICC), di sini pada Sabtu. 

Program Sabah Berselawat 2023 ini julung kali dianjurkan oleh RTM Sabah menerusi  radio SABAHfm, sempena Sambutan Hari RTM Ke-77. 

Dalam pada itu, beliau berharap RTM akan terus membantu menyampaikan maklumat  dan agenda kerajaan kepada rakyat, termasuklah insiatif pembangunan iaitu Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ).  

“Inilah pentingnya peranan media terutama RTM dalam menyampaikan agenda  pembangunan kerajaan ke seluruh pelusuk negeri ini, agar rakyat tahu apa yang  kerajaan sedang dan akan laksanakan.  

“Saya berharap RTM sama ada menerusi siaran radio atau televisyen terus memberi  maklumat yang terkandung dalam Halatuju SMJ, apa yang telah dan sedang  dilaksanakan. Kita mahu semua rakyat tahu apa maklumat yang terkandung dalam  Halatuju SMJ ini.

“Agenda Sabah Maju Jaya kini berada di landasan yang tepat untuk membawa  pembangunan kepada rakyat dan negeri sejak dilancarkan pada Mac 2021. Kita telah  menerima banyak pelaburan asing dan juga domestik, sejak dua tahun lalu,” katanya,. 

Hajiji berkata, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membawa lebih banyak  pembangunan kepada rakyat dan negeri ini. 

“Pada minggu ini saja, saya telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Linaco dan Sawit Kinabalu bagi pembinaan  sebuah Kilang Pemprosesan Kelapa Bersepadu bernilai RM200 juta di Langkon, Kota  Marudu. 

“Selain itu, Sabah juga telah merealisasikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan  penyertaan di dalam PSC Samarang dengan termeterai perjanjian dengan PETRONAS  Carigali Sdn Bhd (PCSB), pada Jumaat. 

“Ini antara usaha kita yang berterusan untuk memastikan lebih banyak pembangunan  di bawa ke negeri ini. Saya berasa teruja melihat usaha Kerajaan Negeri untuk  membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri ini dan rakyat telah  menunjukkan kemajuan. Ini adalah sebahagian daripada bukti yang dapat kita rasa dan  banggakan,” katanya. 

Tamat