Hajiji: Beri peluang sekali lagi kepada kerajaan pimpinan saya memerintah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  menzahirkan harapan agar kerajaan pimpinannya diberi peluang sekali lagi oleh rakyat  Sabah untuk meneruskan pemerintahan di negeri ini. 

Beliau berkata, hakikatnya masih terlalu banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk  memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat. 

"Dengan hati dan minda yang terbuka, saya berharap Kerajaan ini akan diberi peluang  sekali lagi oleh rakyat untuk meneruskan pemerintahan di negeri yang bertuah ini. 

"Jika Kerajaan ini kembali memerintah, insya Allah kita akan kekal bersama-sama  menjayakan dan memperhebatkan lagi pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ). 

"Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi Hala Tuju SMJ 2.0, demi  kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk  menjadikan Sabah negeri yang hebat", katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu  20205 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Khamis. 

Katanya, agenda besar Kerajaan pada hari ini ialah untuk menjadikan Sabah sebuah  negeri yang hebat dan cemerlang dalam pelbagai sektor pembangunan pada masa  akan datang. 

Menurutnya, kerajaan telah meletakkan suatu dasar yang jelas lagi komprehensif, dasar  yang terbaik untuk negeri dan seluruh rakyat. Dasar Hala Tuju SMJ yang kita cipta  sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa, ke arah kemajuan yang holistik dan  kesejahteraan yang merangkumi setiap lapisan rakyat. 

Beliau berkata, bagi menjayakan agenda memperhebatkan negeri Sabah, jalinan  kerjasama dan persefahaman antara pimpinan negeri dengan para penjawat awam,  perlu terjalin erat dan sentiasa diperkukuhkan atas nama pertanggungjawaban dan  kecintaan terhadap negeri dan tanahair yang disayangi. 

"Begitu juga dengan hubungan akrab yang sedia terjalin, antara Kerajaan Negeri  dengan Kerajaan Persekutuan. Hubungan yang diibaratkan seperti aur dengan tebing,  bukan sahaja harus dikekalkan, tetapi juga wajib diperkukuh lagi", katanya. 

Katanya, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan telah  membawa banyak manfaat dan faedahnya kepada kita di Sabah. Berbagai isu dan  perkara bukan sahaja dapat dirundingkan bahkan dapat juga diselesaikan. 

"Ini merangkumi isu-isu berkaitan perundangan dan akta, isu-isu mengenai Perjanjian  Malaysia 1963, dan lebih penting lagi isu-isu berkaitan usahasama atau kolaborasi  antara Kerajaan Negeri dengan PETRONAS", tambahnya. 

Hajiji mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri  dan persekutuan, yang sejak hampir 5 tahun ini, sentiasa memberikan sokongan dan  dokongan terhadap kepimpinannya. 

"Di sebalik berbagai halangan dan rintangan yang saya hadapi, saya masih boleh  berbangga kerana anda, warga penjawat awam tetap berdiri teguh di belakang saya  hingga ke hari ini", tegasnya. 

Hajiji menzahirkan penghargaan kepada mereka atas komitmen dan sokongan padu  menjayakan agenda pembangunan negeri, termasuk mereka yang sedang mencurah  bakti dalam sektor keselamatan, pendidikan dan kesihatan. 

"Semoga negeri dan negara kita ini kekal aman dan sentosa, makmur dan sejahtera.  Bersama kita kukuhkan tekad dan iltizam, menjayakan hasrat dan impian ke arah  menjadikan Sabah - Negeri Di Bawah Bayu - negeri yang maju, makmur, aman dan  sentosa", katanya. 

Tamat