DBKK perlu terap, amalkan konsep cekap dan pandas

KOTA KINABALU: Konsep cekap dan pantas perlu sentiasa diterap dan diamalkan oleh  Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam pelaksanaan semua dasar, program  dan perkhidmatannya. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selepas dinaik taraf  sebagai bandar raya, DBKK menggalas tugas dan tanggungjawab yang lebih besar bagi  mengekalkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik.  

Beliau berkata, ekspektasi penduduk Bandaraya Kota Kinabalu semakin kian mencabar  dan sentiasa memerlukan perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien, terutama pada  masa sekarang.  

"Justeru, saya menyarankan agar konsep cekap dan pantas sentiasa diterapkan dan  diamalkan dalam pelaksanaan semua dasar, program dan perkhidmatan yang  direncanakan agar kesejahteraan rakyat di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dapat  dikekalkan", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi DBKK sempena Ulang Tahun Ke-25 Jubli  Perak Bandaraya Kota Kinabalu di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Sabtu. 

Hajiji berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang progresif, DBKK telah  melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran,  menggalakkan inovasi, serta memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. 

"Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tetapi juga  memperkukuhkan kedudukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang mampan  dan mesra rakyat.  

"Saya berharap semua usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan Kota Kinabalu  terus menjadi sebuah bandar raya yang memenuhi kehendak pengunjung terutama  warganya", katanya. 

Hajiji berkata, dalam era globalisasi dan cabaran pembangunan bandar semakin  kompleks, Kota Kinabalu perlu bersiap siaga dengan perancangan yang rapi untuk  memastikan infrastrukturnya dapat menampung pertumbuhan pesat penduduk.

"Perlu diingat bandar raya ini juga merupakan destinasi pelancongan utama dan pintu  masuk yang popular bagi pelancong yang melawat ke negeri ini. Justeru, DBKK perlu  sentiasa memastikan aspek kebersihan, keselamatan, dan kesejahteraan masyarakat  perlu terus menjadi keutamaan", tegasnya. 

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mengekalkan pencapaian tersebut  dan menyokong apa jua usaha strategik DBKK yang bakal dilaksanakan. 

Beliau berkata, antaranya ialah pelaksanaan inisiatif bandar pintar KK dengan  kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC), pemantapan Undang Undang sedia ada, pemerkasaan sistem jalan dan pengangkutan awam, menaiktaraf  kemudahan asas Bandaraya Kota Kinabalu melalui permohonan projek Rancangan  Malaysia (RMK) ke-13 dan beberapa lagi inisiatif yang memberikan manfaat kepada  penduduk Bandaraya Kota Kinabalu. 

Hajiji juga mahu semua warga kerja DBKK terus mengekalkan budaya kerja yang  cemerlang seiring dengan ekspektasi stakeholders dan kehendak warga Bandaraya  Kota Kinabalu kerana mereka adalah wira atau ‘unsung hero’ bagi bandaraya Kota  Kinabalu.  

Katanya, usaha warga DBKK amat penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk  mewujudkan Bandaraya Kota Kinabalu terus sejahtera, berdaya huni, mampan, berdaya  saing dan lestari. 

Tamat.