KM: Jabatan Penyiaran Sabah mainkan peranan dalam menyebarluaskan program kerajaan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu Jabatan Penyiaran  Sabah memberi fokus untuk menguar-uarkan program yang dilaksanakan kerajaan  khususnya tiga tonggak utana Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Pertanian,  Perindustrian dan Pelancongan, hingga ke peringkat akar umbi. 

Beliau berkata, beberapa pelaburan utama yang sudah beroperasi di Taman Perindustrian  Kota Kinabalu (KKIP) antaranya Kumpulan Kibing dan SK Nexilis, juga perlu diberi tumpuan  untuk disebarluaskan kepada rakyat. 

Beliau berkata ini termasuk syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. berpengkalan di  Singapura yang membawa pelaburan bernilai RM20 bilion dalam projek Green Steel di  Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). 

“Projek ini dilaksanakan dalam tiga fasa juga akan mencipta ribuan peluang pekerjaan  kepada rakyat di negeri ini. Kerajaan negeri juga akan mewujudkan taman perindustrian  baharu di Kudat, sebagai tambahan kepada taman perindustrian sedia ada. Tujuan kita juga  adalah untuk menarik lebih ramai pelabur sekali gus membangunkan kawasan di utara  Sabah. 

“Usaha kita mengadakan taman perindustrian baharu di Kudat bukan sahaja untuk  meningkatkan ekonomi negeri tetapi juga berupaya memberi peluang pekerjaan kepada  rakyat. 

“Pembangunan taman perindustrian di Kudat ini adalah satu kerjasama pintar antara  kerajaan dan pemilik tanah yang terbabit. Konsepnya, kita akan menyewa tanah yang  terlibat dalam taman itu sekali gus memberi pendapatan kepada mereka yang terlibat,”  katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Penyiaran Sabah  yang baharu, Mohd Yusni Mohamed Ali. 

Kunjungan hormat itu turut disertai Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Cyril Simon *dan  pegawai-pegawai kanan RTM Sabah*. 

Ketua Menteri berkata selain aspek pelaburan dan tiga tonggak utama dalam SMJ, banyak  lagi yang telah dilaksanakan kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk  bantuan dan pemberian biasiswa.

”Ini adalah antara usaha kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan di negeri ini. 

“Justeru, saya mahu Jabatan Penyiaran Sabah membantu menyampaikan segala inisiatif  dan agenda kerajaan kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya. Terdahulu, dalam kunjungan hormat itu, Mohd Yusni turut berkongsi beberapa  perancangan program-program RTM untuk dilaksanakan di negeri ini. 

Kunjungan itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara RTM selaku agensi penyiar  rasmi kerajaan dengan kerajaan negeri Sabah, khususnya dalam menyebar luas agenda  pembangunan negeri. 

Tamat