Sabah terus bekerjasama dengan Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat

TUARAN: Kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam  melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri  ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata ini termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh  Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah  2040 (SE-RAMP 2040).  

“Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah telah diserahkan kepada Kerajaan  Negeri, saya berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh dengan  menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi bagi memberikan kemudahan  terbaik kepada rakyat,” katanya sempena Program Sabah Electricity bersama Komuniti,  Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman, di sini,  pada Ahad.] 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri  Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya. 

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri adalah  pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan  bermula 1 Januari hingga Jun 2025. 

“Subsidi sebanyak RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak  dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri juga dari  golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS. 

“Faktor utama masalah bekalan elektrik di negeri ini tidak hanya berkaitan dengan  masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban  pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.  

“Justeru, Kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan  Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan bagi mencapai jidar  simpanan kapasiti penjanaan (generation capacity reserve margin) ke tahap 30  peratus,” katanya. 

Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan ini dan menambahbaik situasi bekalan  elektrik di Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity dalam memudah cara dan memberikan sokongan bagi melaksanakan Pelan  Transformasi Sabah Electricity. 

Sementara itu Hajiji berkata, kerajaan GRS-PH memberi layanan yang sama rata  kepada setiap rakyat di negeri ini tanpa memikirkan perbezaan agama, kaum dan juga  etnik.  

“Inilah bukti keprihatinan dalam pentadbiran kerajaan GRS-PH. Oleh itu, saya berharap  sempena majlis pada hari ini, kita rapatkan persaudaraan, perpaduan dan keharmonian  rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di negeri ini. 

“Dalam pada itu, sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, kita amat bertuah kerana  dapat menyambut pelbagai perayaan yang ada di negara ini.  

“Krismas yang baru dirayakan oleh masyarakat Kristian pada bulan Disember lalu,  manakala Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Tionghua dalam  beberapa hari lagi, menunjukkan betapa negara ini menghargai dan menghormati setiap  perayaan yang ada di negara ini,” katanya. 

Beliau turut berharap agar amalan berkongsi perayaan dan menghormati perayaan  kaum-kaum lain serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan ini perlu  diteruskan supaya kekal menjadi identiti masyarakat Malaysia yang unik lagi harmoni. 

Tamat