MUIS meterai MoU bersama Zecon Berhad bangun projek perumahan pelajar

KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.Haji  Mohd.Arifin Datuk Haji Mohd Arif mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman  (MoU) di antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Zecon Berhad di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

MoU tersebut mengenai usahasama bagi projek perumahan pelajar dengan anggaran  Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1.3 bilion, akan dibangunkan di tanah  milik MUIS seluas 15 ekar bersebelahan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah  (UMS). 

Sebanyak 1,610 unit apartmen akan dibina dan mampu menampung sehingga 6,732  pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan.  

Pemilikan tanah akan terus kekal dibawah MUIS dengan kaedah konsep pembangunan  Build, Lease, Maintain & Transfer (BLMT). 

Projek ini bakal menjadi perintis yang menawarkan konsep pembangunan serba moden  dan komprehensif, dijangka bermula pada akhir tahun 2025. Lebih 500 hingga 600  peluang pekerjaan akan diwujudkan, meliputi sektor profesional, pentadbiran dan buruh. 

Mewakili MUIS menandatangani MoU itu ialah Yang di-Pertuanya, Datuk Seri Panglima  Haji Yahya Hussin dan Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Haji Ramlan Awang  Ali. Zecon diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Pengerusi Zecon Engineering Sabah Sdn.Bhd, Datuk  Abdul Kadir Rosline. 

Tamat