Sabah minta rakyat jangan terpengaruh elemen dari luar yang jejaskan perpaduan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat  berbilang kaum di Sabah kekal terpelihara, sekali gus tidak mahu ada elemen-elemen luar dari  seberang datang untuk meracuni pemikiran dan budaya rakyat negeri ini, tegas Ketua Menteri  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata rakyat Sabah yang mempunyai lebih 30 etnik hidup dalam keadaan  harmoni sejak sekian lama walau pun berbeza latar belakang agama dan bangsa. 

“Namun, istimewanya kita, menerusi budaya kita terus bersatu dan ini perlu dipupuk untuk  generasi akan datang. Oleh itu, saya tidak mahu elemen-elemen dari seberang datang ke negeri  ini untuk meracuni pemikiran rakyat Sabah. 

“Kita menghormati kebudayaan semua kaum sebab itu kerajaan  negeri turutmenganjurkan perayaan-perayaan besar di negeri ini seperti Hari Raya Aidilfitri dan  Tahun Baharu Cina di peringkat negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Tarian Naga, Singa dan Unicorn Tahun  Baharu Cuna serta Pameran Kampung Budaya 2025 di Sabah International Convention Centre  (SICC) di sini pada Sabtu. 

Beliau berkata, inilah keistimewaan negeri Sabah kerana apa juga perayaan yang dianjurkan,  ia mendapat sambutan hebat daripada rakyat berbilang kaum. 

“Sebab itu, saya amat menghargai jemputan ke majlis ini dan tahniah kepada penganjur  iaitu Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersatu Kota Kinabalu (USCCAKK). 

“Kita harus menjaga perayaan seperti ini untuk anak-anak kita kerana dengan kepelbagaian  inilah akan memantapkan lagi keharmonian di Sabah,” katanya. 

Sehubungan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan pastikan semua budaya dan perayaan  dihormati termasuk memberi peruntukan kepada rakyat di negeri ini. 

“Usaha ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri menghormati sambutan semua perayaan yang  ada di negeri ini, termasuk Tahun Baharu Cina,” katanya. 

Ketua Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan penganjuran majlis berkenaan yang bukan  saja diraikan oleh masyarakat Tionghua malah turut dihadiri masyarakat berbilang kaum yabg  ada di negeri ini. 

Tamat