Kecemerlangan kepimpinan TYT sebagai mantan KM membantu bangunkan negeri ini

KOTA KINABALU: Kecemerlangan kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa bin  Haji Aman sebagai Ketua Menteri sebelum ini, boleh dijadikan panduan dalam  mentadbir dan membangunkan negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata jasa dan bakti serta legasi Tun Musa pada masa lalu sebagai mantan  Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri Sabah, dengan pelbagai  kemajuan dan pembangunan, sudah pasti membantu membangunkan lagi negeri ini. 

“Sesungguhnya, pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang  baharu adalah bertepatan dan sesuai dengan pengalaman yang luas dan khidmat bakti  kepada negeri Sabah sebelum ini.  

“Saya percaya dan berkeyakinan bahawa pelantikan itu, mampu mengangkat martabat  negeri Sabah ke satu tahap yang lebih cemerlang, sesuai dengan pengalaman luas  Tuan Yang Terutama Tun selama 15 tahun memimpin negeri ini di bawah kerajaan  negeri yang terdahulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Majlis Jamuan Negeri bersama Tuan Yang Terutama  Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri dan Yang  Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin  di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini malam ini. 

Dengan rekod cemerlang itu, Hajiji yakin negeri Sabah akan lebih berupaya maju ke  hadapan di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia  terjalin sejak sekian lama.  

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan kekayaan dan keindahan alam  semula jadinya, dengan kekayaan nilai budaya dan adat tradisi suku kaumnya, Sabah  berpotensi besar untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai sektor  pembangunan. 

“Berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang  bermatlamat untuk membangunkan negeri Sabah secara holistik dan inklusif, Insya  Allah objektif ini akan mudah dicapai berkat bimbingan serta panduan yang bakal  diberikan oleh Tuan Yang Terutama sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman  luas, termasuk dalam dunia korporat,” katanya. 

Sehubungan itu Ketua Menteri mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini,  eratkan kerjasama, kukuhkan perpaduan, perbaharui azam dan iltizam agar cita-cita dan  impian menjadikan Sabah lebih maju, aman dan sentosa, akan mudah tercapai. 

“Melihat kepada cabaran yang mendatang, dengan suasana ekonomi dunia yang masih  tidak menentu bagi tahun 2025 ini, selaku kerajaan negeri yang memerintah, selaku  anggota penjawat awam yang menggerakkan jentera Kerajaan, dan selaku peneraju  sektor swasta; ketiga-tiga entiti besar ini wajar mempertingkatkan kerjasama dan  memperkukuhkan strategi ke arah mencapai kemajuan negeri dan kesejahteraan  seluruh rakyat.  

“Bersama-samalah kita berganding bahu, berusaha dan bekerja keras ke arah  cemerlang dan gemilang; mudah-mudahan negeri Sabah yang tercinta terus maju dan  berjaya, aman dan sentosa,” katanya. 

Tamat