Sabah akan terus maju dan makmur di bawah naungan TYT baharu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus berusaha dan berikhtiar untuk  memajukan negeri Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Sehubungan itu beliau yakin Sabah akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan  kemakmuran di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr)  Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11. 

“Saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk saling bekerjasama,  berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacukan pembangunan negeri Sabah  yang tercinta.  

“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol  kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian  masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.  

“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selama lamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan  bumi Sabah,” katanya sempena Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama  Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu. 

Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak  lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan  mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ). 

“Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai  pelaburan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak  tempatan. Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik  dan kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada tahun 2024. 

“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang.  Pencapaian yang sangat menggalakkan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi  pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan. 

“Di sudut yang lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan  sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah menghasilkan impak positif  dalam pertumbuhan ekonomi negeri. Perkembangan yang memberangsangkan ini  adalah sejajar dengan hala tuju yang dilancarkan hampir empat tahun yang lalu,”  katanya. 

Hajiji berkata kemajuan dan kesejahteraan rakyat juga tetap menjadi agenda utama  kerajaan, justeru pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada  kumpulan sasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.  

Selain itu katanya, golongan pelajar dan mereka yang berhasrat untuk melanjutkan  pelajaran dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi, juga tidak diabaikan, yang  mana melalui program pembangunan modal insan, kerajaan menyediakan dana  pembiayaan kos pengajian untuk mereka yang berkelayakan.  

“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara  nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, serta mengekalkan nilai perpaduan dan  keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun. Aspek keselamatan dan  ketenteraman awam, akan terus diutamakan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat,”  katanya.  

Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafazkan ikrar taat setia  yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa bin Haji Aman, sebagai Tuan Yang di Pertua Negeri Sabah ke-11. 

“Semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri  Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tusin serta seluruh ahli keluarga yang tercinta,  sentiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat Allah SWT, dengan nikmat  keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya. 

Tamat