KM: Sebanyak RM124.70 juta diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan

KOTA BELUD: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM124.70 juta bagi  pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan di negeri ini, pada tahun hadapan,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Sehubungan itu, beliau berharap usahawan dan koperasi di negeri ini, termasuk di  Kadamaian akan mengambil setiap peluang yang disediakan kerajaan agar lebih kompetitif  dan berdaya saing. 

“Kerajaan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya turut memberi tumpuan dalam  pembangunan usahawan dan koperasi yang secara langsung akan dapat menyumbang  kepada peningkatan sosio-ekonomi masyarakat di negeri ini.  

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk terus menyokong dan  memperkasa sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan  usahawan dan koperasi di negeri ini. 

“Saya percaya dengan segala bantuan yang disediakan kerajaan, lebih banyak lagi yang  boleh dibangunkan oleh usahawan atau koperasi di negeri ini termasuk di Kadamaian,  khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Madani KUSKOP bersama  Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024 di Dewan  Kadamaian Square, Taginambur, di sini pada Isnin. 

Ketua Menteri turut memuji usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  (KUSKOP) yang terus terus membantu sahawan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana  (PMKS) dan koperasi di negeri ini,  

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersedia untuk mempertingkatkan lagi jaringan  kerjasama dengan KUSKOP dalam pelaksanaan program-program yang lebih berimpak  tinggi bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa dalam konteks keusahawanan  dan juga masyarakat setempat. 

“Saya juga saya amat menghargai pencapaian yang direkodkan oleh KUSKOP yang  sentiasa komited dalam membantu usahawan PMKS dan koperasi termasuk komuniti  penjaja dan peniaga kecil, ke arah memperkasakan ekosistem keusahawanan dan gerakan  koperasi.  

“Saya berharap KUSKOP akan terus membantu usahawan PMKS bukan saja bukan saja di  Kadamaian malah di seluruh negeri ini. Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh  KUSKOP akan memberikan manfaat kepada usahawan dan koperasi dalam mengukuhkan  kelangsungan perniagaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berharap Pelan Pembangunan Kadamaian yang dilancarkan pada  tahun 2020 itu akan terus menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan  jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan di Kadamaian, demi manfaat rakyat  setempat. 

Justeru katanya, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini perlu  dikekalkan kerana ia sangat penting untuk membangunkan hal-hal sosio-ekonomi  masyarakat di samping dapat mengukuhkan nilai-nilai perpaduan secara keseluruhannya. 

Mengenai sambutan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian itu, beliau turut mengajak semua  rakyat negeri ini untuk bersama-sama terus mengeratkan perpaduan, keharmonian dan  saling menghormati. 

“KIta perlu meraikan nilai-nilai bersama dan menghayati keindahan kepelbagaian yang ada  di negeri ini, khususnya. Semoga sempena Krismas ini, ia dapat membawa kedamaian dan  kasih sayang kepada kita semua,” katanya. 

Tamat