Rakyat Perlu Terus Bersatu Padu Untuk Maju

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak rakyat  negeri ini khusus umat Islam terus bersatu padu dan mengukuhkan kerjasama dalam  menyambut bulan Ramadhan Al-Kareem. 

Katanya, dengan perpaduan yang kukuh dan utuh dikalangan rakyat berbilang kaum,  kerajaan dapat merancang, membangun dan majukan negeri ini.  

"Perpecahan akan merugikan kita. Untuk maju ke hadapan dan dihormati, kita mesti  bersatu padu dan bekerjasama. Gunakan bulan Ramadan ini untuk kukuhkan  perpaduan dan persefahaman", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan  Ramadan 1444H Tahun 2023 di Masjid Haji Abd Razak Sabandar Tuaran, hari ini. 

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sejak  menyandang jawatan Ketua Menteri, kesibukan tugas mentadbir negeri menyebabkan  beliau mempunyai masa yang terhad bersama rakyat di kawasannya. 

"Saya amat senang hati kerana dapat bertemu dengan rakyat di Kampung Sabandar  dan berbuka puasa bersama dalam bulan Ramadhan ini", katanya. 

Selain menyampaikan sumbangan kepada Masjid Haji Abd Razak Sabandar, Hajiji turut  menyampaikan sumbangan Ramadan kepada seramai 77 orang asnaf, orang kelainan  upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal miskin dari kawasan Sabandar. 

Tamat