Sabah melancarkan SE-RAMP2040

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan  Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) hari ini, bagi menangani  keperluan jangka masa pendek di samping membina daya tahan jangka panjang yang  mampan untuk industri tenaga di negeri ini pada masa hadapan. 

Pelan Induk itu menggariskan hala tuju dan inisiatif strategik negeri untuk bergerak ke  hadapan dan dengan jangkaan Kerajaan Negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia  pembekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan Persekutuan pada Januari  tahun depan. 

“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan SE-RAMP 2040 dilaksanakan secara  sistematik dan berkesan,” kata Hajiji di Menara Kinabalu dekat sini hari ini. 

Di bawah Pelan Induk itu, Majlis Tenaga Sabah akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh  Ketua Menteri untuk memantau, menyokong dan memberi panduan ke atas pelaksanaan  inisiatif jangkamasa pendek, sederhana dan panjang yang dirancang. 

Antara objektif SE-RAMP 2040 adalah untuk memastikan bekalan kuasa yang berdaya  harap, dengan akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga yang mampu milik,  selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat sambil  memastikan kemampanan untuk masa depan Sabah. 

“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu, dan Pelan  Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR - National Energy Transition Roadmap)  yang dilancarkan pada Ogos tahun ini,” tambah beliau. 

Katanya, SE-RAMP 2040, yang digubal oleh Energy Commision of Sabah atau ECoS  merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi trilema tenaga bagi  memastikan ia terjamin, mampu milik dan kelestarian alam sekitar. 

“Kita tahu dan sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak  sekian lama. Kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya  upaya untuk menyelesaikannya.“ 

"Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju SMJ, keperluan infrastruktur asas  seperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan. Pelan ini sudah tentu akan  membuka jalan kepada kami untuk meningkatkan bekalan elektrik untuk keperluan industri,  dan saya mahu ECoS melaksanakan mandat ini ke tahap terbaik untuk kepentingan rakyat  dan negeri," katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri berjaya menarik beberapa pelabur berimpak tinggi,  seperti projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, kilang  pemprosesan kelapa bersepadu Linaco dan projek keluli hijau, Esteel. 

Dengan adanya SE-RAMP 2040, Sabah berharap dapat menarik lebih ramai pelabur dan  mewujudkan limpahan ekonomi di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada  penduduk tempatan Sabah, katanya. 

Hajiji berkata penubuhan ECoS melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan  Enakmen Bekalan Gas 2023 berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan gas dan  juga fungsi Suruhanjaya Tenaga daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun ini  adalah sejarah bagi Sabah. 

Katanya, ini menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi kedua-dua kerajaan negeri dan  Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

“Pelan Induk ini juga merupakan salah satu kejayaan kerajaan negeri mendapatkan hak kita  di bawah MA63,” katanya. 

Ketua Menteri juga mengulangi bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal  selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu masing-masing daripada Suruhanjaya  Tenaga Persekutuan dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), tiga bulan dari  sekarang pada 3 Januari 2024. 

"Dengan mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas sektor tenaga di Sabah melalui ECoS,  yang telah pun menjalankan tugasnya sebagai pengawal selia gas daratan, juga akan  mengawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh dibaharu. 

'Ini bermakna Kerajaan Negeri Sabah akan dapat membuat keputusan ke atas perkara perkara yang melibatkan penggubalan undang-undang, penyediaan polisi, serta  pembangunan infrastruktur elektrik dan tenaga boleh baharu bagi memastikan ianya selari  dengan pelan pembangunan holistik Negeri Sabah. 

“Walaupun tarikh pengambilalihan kuasa kawal selia sepenuhnya ini hanya akan  berkuatkuasa pada tahun hadapan namun pihak ECoS telah maju setapak ke hadapan  untuk menyediakan pelan induk ini dari aspek pembekalan gas dan elektrik termasuk tenaga  boleh baharu di negeri Sabah untuk 17 tahun akan datang,” katanya. 

"Saya menyokong penuh SE-RAMP 2040 kerana ia akan menyediakan garis panduan untuk  kerajaan dan pemain dalam sektor gas dan elektrik," katanya sambil menambah bahawa ia  akan memastikan industri tenaga Sabah dipantau dengan teliti dan terus berkembang untuk  manfaat orang ramai. 

"Pelan Induk itu adalah kebanggaan Kerajaan Negeri kerana kita akan dapat melakarkan  laluan kita untuk memacu pembangunan sektor gas dan bekalan elektrik kerana kitalah  yang lebih memahami keperluan tenaga negeri kita," kata Ketua Menteri. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata  SE- RAMP 2040 telah menggariskan 16 strategi untuk menangani trilema tenaga iaitu  Keselamatan daya harap tenaga, Kebolehcapaian dan Mampu Milik, serta Kelestarian Alam  Sekitar.

Antara strateginya ialah memastikan jidar simpanan penjanaan yang mencukupi,  mempelbagaikan campuran bahan api, dan perolehan sumber tenaga dan teknologi baharu  untuk jangka panjang bagi tujuan mencapai keselamatan tenaga. 

Tamat