IPDAS Perlu Terokai Inovasi Pendidikan Tanpa Sempadan

KENINGAU: Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) perlu turut sama  menerokai kerjasama dalam bidang inovasi pendidikan dengan Kerajaan Negeri seiring  dengan perkembangan pendidikan tanpa sempadan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, untuk tujuan itu pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri  termasuk mewujudkan Sabah Creative Economy and innovation Centre (SCENIC). 

“Ia merupakan satu peluang besar untuk IPDAS menerokai ilmu pendigitalan yang  digabungkan dengan ilmu teras dalam melahirkan anak bangsa yang berketrampilan  dan memenuhi keperluan hari ini”, katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS  Kali Ke-17 di Dewan Tun Sakaran institut itu pada Khamis. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan  anak bangsa dan telah terjemahkan Inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat  sebagai salah satu Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan modal insan dititikberatkan ke arah  mewujudkan rakyat yang sihat, berjati diri, berilmu pengetahuan, berinovasi dan  berintegriti.  

“Ini juga selaras dengan matlamat Gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh  Perdana Menteri, ke arah membentuk sebuah negara yang maju, makmur, bertamadun  tinggi, aman dan sentosa”, tegasnya. 

Hajiji berkata, bagi menyokong institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT), Kerajaan  Negeri telah mengambil inisiatif menyediakan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI)  sebanyak RM2,000 untuk mengurangkan bebanan keluarga yang tidak berkemampuan  membiayai kos pendidikan.  

Menurutnya, BUDI merupakan satu solusi dalam memastikan tiada diskriminasi bagi  mana-mana golongan terhadap akses kepada pendidikan yang berkualiti, khususnya  golongan yang kurang berkemampuan. 

Malah katanya, Kerajaan Negeri turut melahirkan inisiatif yang tidak hanya  memfokuskan pemberian bantuan kewangan, bahkan turut menyediakan pendekatan  yang berbeza bertujuan memaksima hasil usaha kerajaan bagi membantu setiap lapisan  masyarakat dalam pembangunan pendidikan.  

“Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) mensasarkan kelompok mahasiswa kurang mampu  dari golongan e-kasih yang sedang menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi  melalui peruntukan sebanyak RM2 juta bagi sasaran pemberian 1000 unit komputer  riba”, tambahnya. 

Katanya, Kerajaan Negeri melalui kerjasama agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan  Kerajaan (GLC) telah membangunkan Program Felo Belia yang bertujuan pembinaan  potensi diri, keintelektualan dan kecekalan belia dan beliawanis Sabah dengan  menempatkan mereka di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terpilih untuk diberi  pendedahan tentang alam kerjaya dan cabaran sebenar dalam realiti pekerjaan.  

Hajiji berharap para graduan dan ibu bapa mengambil peluang terhadap dasar-dasar  dan perancangan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, agar ianya menjadi  nadi penggerak mentransformasikan rakyat dari seluruh pelosok Sabah menjadi sebuah  masyarakat yang progresif, maju dan sejahtera. 

Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berusaha  membantu rakyat Sabah melalui pelbagai peruntukan pembangunan yang berterusan  dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) termasuk meluluskan projek pembangunan  IPDAS Keningau Fasa Dua dengan peruntukan sebanyak RM60 juta. 

“Saya juga berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan  pembangunan IPDAS Kampus Kudat Fasa Dua melalui peruntukan RMK13 supaya ia  turut memanfaatkan masyarakat sekitar seterusnya memenuhi agenda pendidikan dan  peluang pekerjaan”, tambahnya. 

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui IPDAS dengan kerjasama  Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, agensi Kerajaan  Persekutuan dan negeri, swasta dan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGOs)  sentiasa berganding bahu dalam memperkasakan perkembangan syiar Islam di bumi  Sabah. 

Tamat