Program Felo SMJ 2.0 Turut Libatkan Lepasan Diploma & STPM

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 edisi tahun  ini lebih menarik kerana turut melibatkan lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, selain memilih para peserta dalam kalangan graduan, Filo SMJ edisi 2023 juga  membuka ruang dan peluang kepada para pelajar lepasan diploma, STPM dan yang  setaraf untuk terlibat dalam program itu.  

“Usaha ini secara langsung dapat membangun belia kita secara holistik sekali gus  mampu menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang kompeten, produktif dan  berkemampuan menjadi pelapis kepada kepimpinan negeri dan negara”. 

“Selain itu terdapat penambahan beberapa agensi dan institusi yang menjadi rakan  strategik dalam pelaksanaan Felo SMJ 2.0 kali ini, termasuk 9 buah Government Linked  Company (GLC) selain kementerian-kementerian sedia ada”. 

“Saya percaya, melalui penglibatan semua kementerian, beberapa agensi dan GLC  terpilih akan mampu merealisasikan matlamat penganjuran Felo SMJ untuk  menyediakan pelapis kepimpinan negeri Sabah suatu masa akan datang”, katanya pada  Majlis Penyerahan Felo SMJ 2.0 di Dewan Sipadan I, Sabah International Convention  Centre (SICC), hari ini.  

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. 

Hajiji optimis, pelaksanaan Felo SMJ 2.0 akan menjadi pemangkin kepada belia-belia di  negeri ini untuk bersaing secara sihat sekali gus membangunkan pencapaian kendiri  mereka.  

Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk memberikan  penghakupayaan penuh kepada Majlis Belia Sabah (MBS) dalam melaksanakan  program-program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) khususnya program Felo  SMJ dan yakin MBS mampu menjalankan program tersebut dengan baik dan teratur di  bawah pemantauan kementerian.

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin, peka dan menyokong aktiviti berkaitan  pembangunan belia, terutama yang memberi pendedahan dan membina potensi serta  keterampilan peribadi dalam diri anak muda.  

“Inisiatif Felo SMJ ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk  memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini. Ia juga selari dengan teras  kedua dalam Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan  Rakyat. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha  memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan  berintegriti’, tegasnya. 

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan kerajaan untuk mencapai  hasrat memperkasa modal insan negeri ini seperti penganjuran Majlis Perundingan  Pelajar Sabah (MPPS) di bawah seliaan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat  (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah.  

Menurutnya, MPPS merupakan program yang menghimpunkan pimpinan mahasiswa  dan pelajar Sabah daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan institusi pendidikan  seluruh negara, sebagai medium untuk bertukar-tukar pandangan dan mengangkat  aspirasi golongan muda negeri ini.  

Katanya, kerajaan telah bersetuju melaksanakan Rumah Transit Belia SMJ yang  dicadangkan oleh MPPS dan mahu pelaksanaan program rintis rumah transit itu  disegerakan bagi membantu golongan sasar yang memerlukan kediaman sementara,  sekali gus membantu meringankan bebanan mereka. 

Hajiji berharap peserta Felo SMJ yang ditempatkan di kementerian, agensi kerajaan dan  GLC untuk mendapat bimbingan langsung daripada para menteri, ketua-ketua eksekutif  dan kepimpinan tertinggi kerajaan akan memperolehi pendedahan alam kerjaya dan  dapat mempelajari tatacara pengurusan sesebuah kementerian, agensi dan GLC. 

“Semoga peluang menjadi Felo SMJ dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bagi  mempelajari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran, baik dalam aspek pentadbiran  hingga ke tanggungjawab sosial korporat (CSR). Sepanjang pelaksanaan program ini  dan selepas itu, mereka disaran untuk mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman  untuk kembali kepada masyarakat”, tegasnya. 

Tamat