Sabah bertuah, teruja dikunjungi Yang Di-Pertuan Agong

KOTA KINABALU: Negeri Sabah dan rakyatnya amat bertuah dan sangat teruja dengan  perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah  Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  mengadakan Program Kembara Kenali Borneo, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, program jelajah yang sedang berlangsung amat bermakna kepada rakyat,  kerana mereka berpeluang untuk menatap dari dekat wajah Yang di-Pertuan Agong  dan keluarga. 

Malah katanya, ada juga yang berkesempatan untuk bertegur sapa di beberapa lokasi  persinggahan sepanjang pengembaraan yang dilalui oleh Seri Paduka Baginda. 

"Ternyata keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati Tuanku berdua akan kekal  terpahat di hati rakyat untuk selamanya”, katanya pada Majlis Santapan Malam  Kerajaan Negeri sempena Program Kembara Kenali Borneo (Sabah) di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Rabu. 

Hadir sama di majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji  Juhar Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr. Hajah Norlidah Binti  Tan Sri R.M. Jasni, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan  Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya. 

Hajiji berkata, rakyat amat mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka  Baginda berdua menelusuri dan memandu sendiri sepanjang lebuhraya Pan Borneo dari  Tawau hingga ke Kota Kinabalu pada Rabu dan meneruskan kembara ke Sipitang pada  esok, dan seterusnya ke Negeri Sarawak, Bumi Kenyalang. 

Beliau turut memaklumkan Seri Paduka Baginda bahawa perdagangan negeri Sabah  telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah iaitu melonjak naik sehingga RM118.1  bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya. 

“Seiring peningkatan itu, meski pun baharu mengambil alih tampuk kerajaan negeri  dalam tempoh 3 tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih  daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah, disamping rekod tertinggi dalam kutipan  hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion”.

“Dengan prestasi ekonomi yang baik berserta hala tuju Pelan Pembangunan Sabah  Maju Jaya yang jelas, yang diperkenalkan dua tahun lalu telah berjaya merealisasikan  usaha murni Kerajaan Negeri dalam membangunkan semula ekonomi negeri Sabah”,  tambahnya. 

Hajiji berkata, Pelan Pembangunan SMJ merupakan Dasar Hala Tuju Kerajaan yang  sejajar dan selari dengan Gagasan Malaysia Madani untuk membawa perubahan dan  pembangunan yang menyeluruh dan holistik, juga bertujuan meningkatkan taraf hidup  rakyat dan membasmi kemiskinan. 

Beliau juga berikrar untuk terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi  kepada Seri Paduka Baginda dan kedaulatan Institusi Diraja yang menjadi payung dan  lambang perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia sejak sekian lama.  

“Semoga Program Kembara Kenali Borneo yang bersejarah ini, akan kekal terukir indah  di dalam hati sanubari Seri Paduka Baginda dan kaum kerabat selamanya”, tambahnya. 

Tamat