Hajiji Rasmi Restoran McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merasmikan  restoran McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman 2 pada Jumaat. 

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU)  diantara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk  membangunkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu yang lengkap untuk syarikat  khidmat segera itu di Malaysia Timur. 

MOU itu merupakan jalinan kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat  ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan itu. 

Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia iaitu Bimbo QSR,  Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat  penghantaran.  

Menandatangani MOU itu bagi pihak McDonald’s ialah Pengarah Urusan dan Rakan  Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar, KKIP diwakili oleh Ketua  Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Laurence Kimkuan, Bimbo QSR diwakili oleh Naib  Presiden Transformasi Global, Natasha Galavotti, Tyson Foods diwakili oleh Naib  Presiden, Unit Perniagaan Malaysia, Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili  oleh Timbalan Pengurus Besarnya, Dominic Alexander Lopez. 

Hajiji menyambut baik rancangan McDonald’s mewujudkan Hab Pembekalan Makanan  Bersepadu di KKIP dan membuka lebih banyak restorannya di Sabah kerana ia bukan  sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, malah turut  mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. 

"Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat franchise  dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan  yang akan memberi manfaat kepada negeri ini”, katanya. 

Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat  perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk  diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE),  Encik Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi KKIP, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk  Seri Panglima Sr Haji Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk  Noorliza Awang Alip. 

Tamat