Kerajaan sediakan peruntukan besar pastikan rakyat sabah dapat pendidikan sempurna

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet yang besar bagi  memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan yang sempurna, kata Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, antara peruntukan itu ialah sebanyak RM12 juta untuk membantu 1,600  sekolah di Sabah melalui program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).  

Beliau berkata, sebanyak RM4 juta diperuntukan bagi Bantuan Penyelenggaraan Kecil  Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini untuk membantu membaiki kerosakan  dan menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 serta ke bawah. 

Menurutnya, bagi memperkasa Pendidikan STEM di negeri Sabah, Kerajaan telah  memperuntukkan sejumlah RM250,000.00 bagi Program STEM FIESTA dan  pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau  dengan kos sebanyak RM3.0 juta dan dijangka siap pada penghujung 2023. 

“Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Kerajaan juga merancang  melaksanakan projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota  Kinabalu. Manakala pembinaan Pusat STI di Tawau dan Sandakan bernilai lebih  daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS”, katanya pada Majlis Apresiasi  Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di  Grand Ballroom Magellan Sutera Hotel pada Khamis.  

Hajiji berkata, Kerajaan melalui KSTI juga memberikan dana sebanyak RM 320,000.00  untuk pewujudan 16 buah sudut sains di sekolah rendah, termasuklah memberi  sumbangan bagi membaikpulih 14 Makmal Sains sekolah Menengah pada tahun ini  dengan peruntukan sebanyak RM280,000.00. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan beberapa program  bantuan pendidikan pada tahun ini seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One  Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai  Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang terbukti  memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan  miskin dan B40.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkasa  pembangunan pendidikan dan infrastruktur pendidikan dalam usaha melahirkan modal  insan yang berkualiti.  

“Ini kerana dengan pendidikan yang terbaik, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup  rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara  khususnya negeri Sabah. Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan”,  tambahnya. 

Dalam konteks itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu dengan  Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tugas, peranan, dan tanggungjawab dalam  memberikan pendidikan kepada rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan  dedikasi. 

Hajiji turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 48 penerima Majlis  Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS), sebagai penghargaan dan pengiktirafan  kepada warga pendidik di atas perkhidmatan yang cemerlang dan komitmen yang tinggi,  sumbangan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai  pendidik khasnya pendidikan di negeri Sabah.  

Katanya, komitmen dan usaha murni para penerima anugerah dalam menyampaikan  amanah dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan wajar dikagumi dan dijadikan  teladan kepada semua. 

“Harapan saya agar seluruh warga pendidik terus melakar kejayaan dan menunjukkan  budaya kerja yang berprestasi tinggi, terus beristiqamah dan bersemangat dalam  melaksanakan tugasan seharian untuk melahirkan insan yang terdidik dan mampu  bersaing di persada global”. 

“Ini penting diberi penekanan kerana dunia hari ini menuntut modal insan yang berjiwa  kental dalam menyusuri dunia tanpa sempadan. Justeru, kita mahu melahirkan modal  insan yang dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang cemerlang dan  bersama-sama kerajaan untuk membina negara bangsa yang merupakan harapan kita  semua”, tegasnya. 

Tamat